widgeo.net

Friday, 30 March 2012

lagi tentang kanser darah

70 hingga 80 peratus kanak-kanak hidap kanser darah boleh sembuh.

SETIAP tahun lebih 400 kes kanser dilaporkan di kalangan kanak-kanak di lace w:st="on">Malaysia . Daripada jumlah itu, sebanyak 80 kes baru leukemia, iaitu sejenis kanser darah dikesan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Leukemia adalah kanser darah kanak-kanak yang paling kerap ditemui. Meskipun leukemia berada dalam kategori penyakit barah tetapi jika ia berlaku kepada kanak-kanak, peluang untuk sembuh sangat cerah berbanding dengan pesakit dewasa.

Begitupun, jika protokol perubatan tidak dipatuhi sepenuhnya, risiko untuk ia menyerang kembali (relapse) juga tinggi.Pakar Perunding Kanser Kanak-Kanan PPUM, Profesor Madya Dr Hany Ariffin, berkata ada beberapa jenis leukemia tetapi yang paling biasa ialah “acute lymphoblastic leukemia (ALL)”.

Beliau berkata, hampir 70 peratus daripada kes leukemia yang dikesan setiap tahun membabitkan ALL.“Berbanding kes barah lain, leukemia yang menyerang kanak-kanak boleh disembuhkan dan pesakit akan pulih sepenuhnya selepas tamat rawatan kemoterapi yang ditetapkan. “Antara 70 hingga 80 peratus pesakit ALL akan sembuh tetapi 25 peratus akan berhadapan dengan kes berulang (relapse), antaranya kerana tidak mematuhi arahan doktor,” katanya.

Beliau berkata, terdapat sesetengah golongan ibu bapa yang tidak mematuhi jadual kemoterapi sebaik saja anak mereka kelihatan sihat walaupun dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian.

“Jika pesakit mematuhi rawatan kemoterapi yang dijadualkan, leukemia boleh dihapuskan sepenuhnya.“Sebenarnya kemoterapi bagi ALL harus dibuat selama dua tahun, walaupun pesakit akan kembali kelihatan sihat dan ceria selepas beberapa minggu menjalani kemoterapi.
“Oleh itu, ibu bapa beranggapan anak sudah sembuh dan tidak perlu lagi menjalani kemoterapi,” katanya.

Dr Hany berkata, tindakan itu jelas salah walaupun pesakit akan kelihatan ‘sihat’ seperti biasa, sel leukemia belum dibunuh sepenuhnya. Justeru, katanya apabila leukemia menyerang kembali, ia mungkin lebih kuat dan ‘kebal’ kepada rawatan.

“Walaupun dunia perubatan mengetahui leukemia boleh dihapuskan dengan kemoterapi, sehingga kini tidak dipastikan dengan jelas bagaimana leukemia itu boleh terjadi. "Kita juga tidak pasti bagaimana ia boleh menyerang seorang kanak-kanak dan tidak kanak-kanak lain.
“Leukemia tidak diwarisi secara genetik. Malah, jika kanak-kanak bekas pesakit leukemia itu berkahwin, peluang untuk anaknya nanti menghidap leukemia adalah sama dengan peluang kanak-kanak lain yang dilahirkan dalam keluarga bukan bekas pesakit leukemia,” katanya.

Dr Hany berkata, leukemia juga menyerang tanpa mengira umur dan ia boleh terjadi pada bayi berusia empat minggu walaupun ia lebih kerap menyerang kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas. “Jika ia menyerang kanak-kanak dalam lingkungan usia dua hingga enam tahun, peratusan untuk sembuh sepenuhnya sangat tinggi,” katanya.

Bagaimana ia dirawat?

Hingga kini rawatan terbaik untuk leukemia adalah kemoterapi. Di negara barat, peratusan untuk sembuh penyakit leukemia di kalangan kanak-kanak sangat tinggi selepas menjalani rawatan kemoterapi. Justeru, ibu bapa dinasihatkan tidak mengambil herba atau makanan tambahan lain dalam usaha menyembuhkan pesakit. Walaupun banyak ubat-ubatan herba di pasaran yang mendakwa boleh membantu membunuh sel leukemia, ia masih belum terbukti keberkesanannya. Pengambilan herba mungkin akan hanya menambahkan lagi kesengsaraan pesakit.

Berpandukan kejayaan di negara barat menerusi penggunaan kemoterapi, masyarakat tempatan sepatutnya tidak perlu membazir wang membeli makanan tambahan atau herba untuk mengubati penyakit leukemia anak mereka.

FAKTA

Kanser darah

Leukemia adalah barah sel darah. Sel darah diproses oleh tulang sum-sum, tisu lembut di tengah kebanyakan tulang. Dalam kes leukemia, tulang sum-sum menghasilkan terlalu banyak sel darah putih dan kadang kala sel ini tidak ‘bertugas’ dengan betul. Sel ini terus ‘membiak’ sedangkan ia sepatutnya berhenti. Malah, ia juga berkembang lebih cepat daripada sel lain. Sel abnormal ini kemudian akan mengatasi jumlah sel darah putih, sel darah merah dan platelet.

Sel darah putih membantu tubuh menentang jangkitan. Sel darah merah memastikan bahagian tubuh mendapat keperluan oksigen yang sepatutnya. Platelet memastikan tubuh tidak terlalu berdarah (kalau terluka). Apabila sel leukemia melebihi jumlah sel normal, darah tidak akan berupaya melakukan tugasnya yang sepatutnya dan terjadilah gejala seperti yang dinyatakan di atas.

Simptom
a) Kelihatan pucat
b) Mudah berdarah atau lebam
c) Jangkitan berulang
d) Sakit sendi
e) Kelenjar limfa yang membengkak
f) Demam yang berpanjangan

Sumber:
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Kesihatan/20061217103757/Article/

No comments:

Post a Comment

thanks for comment